Monday, September 3, 2012

Isu Guru Berpolitik:Mengulas keputusan kerajaan membenarkan guru berpolitik

Isu Guru berpolitik
Arena pendidikan negara baru-baru ini telah  mengejutkan ramai pihak dengan sebuah transformasi yang dilihat agak kontroversial dan menjadi buah mulut seluruh warga Malaysia. Sebulan yang lalu,kerajaan mengumumkan satu perubahan besar iaitu kesemua pegawai perkhidmatan siswazah DG41 dan DG48 dibenarkan berpolitik bermula 1 ogos 2012. Hal ini adalah satu perubahan yang besar dalam arena pendidikan yang membawa kepada polemik yang rancak dalam kalangan rakyat yang prihatin tidak kurang juga individu-individu yang berpengaruh dalam negara termasuk dalam kalangan warga pendidik sendiri.
            Transformasi  ini merupakan pindaan daripada peraturan 21di dalam Peraturan-Peraturan pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang melarang guru terlibat dalam sebarang kegiatan politik. Pengumuman ini dibuat oleh Ketua Setiausaha negara,Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada 27 Julai yang lalu. Di dalam Peraturan tersebut. Sebelum ini, Peraturan 21(2) menetapkan hanya pegawai dalam kumpulan sokongan boleh bertanding atau memegang jawatan atau dilantik menyandang apa-apa jawatan dalam suatu parti politik dengan syarat terlebih dulu mendapat kelulusan bertulis Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam atau Ketua Setiausaha kementerian berkenaan. Bagaimanapun, di bawah peraturan baru ini, pegawai pendidikan, selain pengetua atau guru besar di institusi pendidikan dan pegawai yang memegang apa-apa jawatan pentadbiran dalam mana-mana agensi kerajaan, perlu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran terlebih dulu.(Manja Ismail,2012)
            Sebuah artikel bertarikh 5 Ogos telah dikeluarkan pada laman Utusan Online  menyentuh tentang isu sensasi ini. Penulisnya Ahmad Masrizal Muhammad ,seorang Pensyarah Kanan Institut Latihan Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan Kementerian Pendidikan mengutarakan beberapa isi menarik dalam pandangannya terhadap isu ini. Artikel ini bertajuk “Senario Guru Politik” dan di dalam ulasan penulis berhubung isu ini beliau menyokong keputusan kerajaan membenarkan kembali golongan guru terlibat aktif di dalam politik berbanding sebelum ini. Menurut Masrizal,rentetan Peraturan 21 Akta Pegawai Awam 1993 yang diputuskan 17 tahun lalu,guru hanya dibenarkan memainkan peranan sebagai penyokong sahaja dan sekadar menjadi ahli biasa dalam politik. Masrizal menyatakan semenjak itu para guru menjadi tawar hati untuk menyatakan sokongan kepada arena politik lalu memilih ‘mod senyap’ dengan hanya memimpin masyarakat setempat di taman perumahan,kampong-kampung dan sebagainya. Menurut penulis juga,guru mempunyai daya pengaruh yang lebih tinggi berbanding kelompok lain yang dipilih menyertai parti. Beliau juga menyifatkan kuasa rujuk seorang guru dalam kalangan masyarakat adalah lebih tinggi berbanding mana-mana kelompok lain.
            Justeru,pemisahan kelompok guru dari arena politik disifatkan penulis sebagai satu pembaziran sumber. Hal ini kerana,kelompok ini mempunyai kredibiliti dan potensi yang besar dalam bidang politik dan mampu menjadi aset yang berguna buat mana-mana parti politik. Meminggirkan mereka dari bidang ini seolah-olah mensia-siakan sumber manusia yang berguna. Mengukuhkan lagi hujahnya ini,beliau menambah bahawa pada tahun 2009 sahaja,bilangan guru dari Kumpulan A(siswazah DG41dan Dg48) sahaja dikenalpasti berjumlah RM140,000 di dalam negara. Jumlah yang ramai ini,menurutnya satu kelebihan dalam arena politik negara.
            Dalam artikel ini,penulis turut mengemukakan beberapa hujah lain berkaitan pendiriannya menyokong keputusan kerajaan ini,antaranya penglibatan guru dalam politik dalam menyuntik elemen kepimpinan intelektual dalam politik kepartian dalam negara. Dalam hal ini,beliau memetik kata-kata Datuk Seri Najib Tun Razak,perdana menteri Malaysia yang mengatakan bahawa kemasukan golongan ini ke dalam parti-parti politik boleh memperkuatkan parti dari segi daya kepimpinan. Beliau menggunakan contoh parti UMNO di mana kemasukan golongan guru akan mampu memberi keseimbangan pada kepimpinan parti yang sebelum ini hanya berdasarkan corak kepimpinan paling kanan dan berdasarkan kuasa semata-mata. Pendapat ini senada dengan pandangan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyifatkan bahawa "suara guru" dalam iklim politik negara sangat diperlukan kerana mereka sangat diterima masyarakat dan langkah itu sebenarnya memberikan kesan positif kepada negara. Beliau juga berkata bahawa penglibatan para guru akan melahirkan politik kepimpinan dan ketandusan kerajaan ini telah memberikan kesan yang sangat positif ketika arena politik negara ketandusan pemimpin berkaliber,berintergiri ,dihormati dan disegani(Berita Harian Online,2012)
            Di dalam artikel ini,penulis turut mengemukakan beberapa persepsi skeptikal yang mungkin timbul dari reaksi masyarakat umum dan mencatatkan beberapa jawab balas menurut kacamata beliau. Yang pertama seperti yang tercatat di dalam artikelnya,ramai ibubapa akan beranggapan bahawa guru yang terlibat di dalam politik akan mula mengabaikan tanggungjawab mengajar.anak-anak mereka dan hanya sibuk menjalankan tugas-tugas politik. Sekolah pula akan menjadi kem-kem kadet politik sebagaimana yang disebutkan oleh Masrizal. menurut beliau,pandangan sebegitu seolah-olah memandang rendah kepada pemikiran guru yang dianggap seperti tidak tahu membezakan yang baik dan yang buruk. Dalam konteks ini,sebuah jurnal pendidikan di Amerika Syarikat yang berjudul “The Teachers’s Roles in Politics oleh Max J. Rubin(Max Rubin,1952) telah menyentuh tentang persepsi negative masyarakat terhadap guru yang terlibat di dalam politik. Dalam artikel ini,penulis,Max Rubin mempertikaikan diskriminasi yang dilakukan terhadap guru ini dengan menyatakan,jika guru dianggap tidak layak untuk menjalankan peranan sebagai rakyat biasa,maka pandangan masyarakat terhadap guru adalah malap dan satu kerosakan besar telah dilakukan terhadap hubungan antara sekolah dan masyarakat.(Max J. Rubin,2012). Dalam menjawab persepsi ini,Masrizal juga menulis bahawa daripada 140,000 guru DG41 dan DG48 ini,hanya 20% sahaja yang akan terlibat dalam politik. Justeru,masyarakat tidak mempunyai sebab untuk bimbang bahawa sekolah akan bertukar menjadi kem-kem kader politik dan perlu yakin akan kemampuan warga guru untuk bergiat aktif di dalam politik.
            Selain itu,Masrizal menyebut 1 lagi persepsi masyarakat berhubung isu keterlibatan guru di dalam politik ini,iaitu guru akan memanipulasikan tugas ,yakni menyalahgunakan tugas dan autoritinya sebagai guru di kelas untuk tujuan politik. Sebagaimana yang disebutkan di dalam artikelnya, “Kebimbangan yang timbul adalah guru akan menghabiskan masa dengan berpolitik, menggunakan ruang kelas sebagai medan menitipkan ideologi politik, menggunakan sekolah sebagai kebuk politik dan seumpamanya” . Di sini penulis menyatakan kesemua ini boleh diatasi menerusi tindakan tegas Kementerian Pelajaran dengan mewujudkan satu garis panduan jelas tentang apa yang boleh dan tidak boleh dibuat sebagai pendokong politik melalui pekeliling iktisas dan sebagainya. Sebuah artikel di dalam sebuah jurnal berjudul “The Teacher’s Role in Politics:As Viewed by A School Board Member menyebut persepsi yang sama berlaku dalam situasi guru berpolitik di negara Amerika Syarikat menerusi pernyataan yang berbunyi,
“Additionally,objection to such activity by teachers is on the ground that citizens may fear that the teachers will become politically prejudiced in their teaching and instead of being disinterested and objective may in effect propagandize politically in the classroom.” (Max J. Rubin,1952)
            Di dalam artikel Senario Guru Berpolitik ini,penulis turut menyebut bahawa guru perlu bijak dalam menguruskan tugas pendidikan dan aktiviti politiknya. Beliau mengingatkan para guru supaya mempunyai keupayaan untuk menjalankan dua tanggungjawab dalam kerangka masa,tempat dan matlamat yang berbeza. Satu untuk mendidik dan melahirkan generasi Malaysia yang berjaya dalam hidup dan kedua adalah untuk berbakti kepada rakyat melalui mekanisme politik. Beliau juga menambah,kegagalan untuk membuat keseimbangan dalam tugas sebagaimana yang diperjelaskan akan menatijahkan huru-hara di dalam sistem persekolahan. Di sini beliau tidak menafikan akan adanya kesan buruk yang akan berlaku sekitanya guru diberi kebebasan menyertai politik secara aktif malah mengeluarkan peringatan yang seolah-olah masih berbaur kebimbangan. Beliau juga mengakui akan kemungkinan berlakunya pertindihan tugas dan keutamaan dalam menjalankan tugas yang mana akhirnya yang menjadi mangsa adalah anak-anak yang ke sekolah dengan niat suci untuk mencari ilmu. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa dalam menyatakan sokongannya terhadap keputusan ini,beliau juga tetap menyedari hakikat impak buruk yang menanti kesan daripada perubahan ini.
            Pada pendapat peribadi saya selaku pemerhati dan sebagai sebahagian daripada warga institusi pendidikan,saya melihat keputusan membenarkan guru menyertai politik ini adalah sesuatu yang sangat positif dan menunjukkan anjakan paradigma yang ketara dalam arus politik negara. Namun,beserta sokongan saya ini,saya meletakkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi guru juga diawasi kerajaan supaya isu penyalahgunaan kuasa dan pengabaian tugas tidak berlaku seterusnya menconteng arang ke seluruh barisan profesioan keguruan tanahair.
            Ada beberapa sebab di sebalik sokongan saya ini,yang pertama dan paling utama adalah atas dasar hak asasi guru sebagai seorang warganegara dan rakyat yang merdeka. Meskipun mempunyai kedudukan istimewa dalam masyarakat,guru perlu diberi hak dan peluang yang sama seperti rakyat lain dalam menyumbang terhadap parti politik yang mereka sertai,serta turut sama mengambil bahagian dalam menyumbang ke arah kestabilan politik negara secara sihat. Dalam konteks ini,Max J. Rubin menyuarakan pandangannya dengan berkata,
“The obvious truth,of course,is that the teacher is a citizen and that to disenfranchise this citizen by forbidding an activitiy permitted to all other citizens is unjust to the teacher and unfair..”(Max Rubin,1952).
Maksud pernyataannya ialah,hakikatnya,guru juga adalah rakyat dan meminggirkan hak guru dengan melarang sesebuah aktiviti yang dibenarkan kepada rakyat lain adalah tidak adil kepada para guru. Datuk Manja Ismail,dalam rencananya yang disiarkan di dalam laman Berita Harian Online turut menyuarakan perkara yang sama dengan menyifatkan bahawa  pindaan peraturan itu adalah langkah mengembalikan semula hak guru, yang memberi sumbangan besar dalam perjuangan merebut kemerdekaan dan kemudian membina negara, untuk terbabit secara cergas dalam politik. (Manja Ismail,2012). Setiausaha Kesatuan Perkhidmatan Keguruan Kebangsaan(NUTP),Lok Yim Pheng dalam kenyataan medianya menegaskan apabila guru dibenarkan menyertai politik, , suara guru mengenai pelbagai isu akan lebih didengari di peringkat politik dan mereka patut diberi peluang untuk memainkan peranan konstruktif dalam politik.(BERNAMA,2012)
            Selain itu,penglibatan guru dalam bidang politik mampu membawa satu perubahan di dalam penerajuan parti politik di Malaysia. Golongan guru yang lebih terpelajar dan dididik dengan sahsiah keguruan akan dijamin membawa kematangan dalam pembawaan wacana politik negara. Kebanyakan ahli politik juga pengikut politik masa kini cenderung menggunakan kaedah yang tidak matang dalam memenangkan parti seperti menabur fitnah,memperalat rakyat,mempolitikkan isu agama,mempropagandakan isu remeh-temeh dan sebagainya. Kemunculan peribadi guru yang terkenal lebih matang dan mulia dijangkakan akan membawa perubahan pada corak arus politik berjalan.Kolumnis,Datuk Manja Ismail menerusi artikelnya yang bertajuk, “Guru Aktif Politik Mampu Lahir Pemimpin Berilmu” turut menyuarakan pandangan yang serupa dengan kenyataan;
 “..Lebih penting lagi, peraturan baru ini dilihat dapat menangani masalah ketandusan pemimpin politik berilmu dan berhemah pada peringkat akar umbi. Sejak sekian lama, akibat peraturan pentadbiran, pimpinan politik pada peringkat cawangan dan bahagian hanya diisi oleh kalangan usahawan dan kontraktor. Lebih malang lagi, sebahagian usahawan dan kontraktor ini muncul sebagai pemimpin bukan kerana ilmu dan kepakaran, tetapi kerana penyertaan mereka dalam politik, khususnya parti yang memerintah sesebuah negeri, tidak kira parti mana pun. Sebahagian besar masalah politik wang, membeli undi, suka berpuak dan mengaut semua projek kecil luar bandar, yang memualkan rakyat sekarang, adalah kesan daripada ketandusan pemimpin berilmu dan berhemah ini. (Berita Harian,2012)
Sekiranya guru terlibat dalam politik,kepimpinan yang terbentuk dari posisi guru akan mewujudkan satu kepimpinan yang lebih relevan,berkebajikan dan mesra rakyat,menepati tema demokrasi yang sebenarnya iaitu demi rakyat,untuk rakyat dan dari rakyat(By the people,for the people,from the people). Hal ini kerana golongan guru merupakan golongan yang bukan sahaja terpelajar,malah,golongan ini biasanya lebih peka dengan isu-isu semasa dan prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka khususnya berkaitan dasar-dasar kerajaan. Hasil interaksinya dengan masyarakat serta tugas menyampaikan ilmu pengetahuan yang menuntutnya untuk sentiasa cakna dengan isu semasa menjadikan golongan ini lebih sesuai menjadi pemimpin masyarakat. Malah,ramai dalam kalangan rakayat yang bangkit menentang Malayan Union dan berdiri dengan semangat kemerdekaan pada era sebelum merdeka dahulu adalah dari kalangan guru selain dari golongan wartawan dan penulis. Hal ini juga diperakui oleh Manja Ismail yang menyatakan  pejuang kemerdekaan dan penentang Malayan Union, yang kemudian menjadi pemimpin parti politik Melayu selepas merdeka adalah terdiri di kalangan guru, khususnya lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, yang kini menjadi universiti. Menurut Manja Ismail,kaum gurulah, selaku golongan berilmu dan pemimpin masyarakat, ketika itu yang menyedarkan orang Melayu di luar bandar mengenai pentingnya mereka bersatu untuk mencapai kemerdekaan dan selepas itu, membantu kerajaan baru merdeka, mengisi kemerdekaan. Malah, ramai pemimpin kanan kerajaan dan parti politik Melayu pada awal kemerdekaan daripada kalangan guru seperti bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba,Zainal Abidin atau Za’ba.(Manja Ismail,2012) Zainal Abidin atau Za’ba yang pernah mengajar di beberapa buah sekolah seperti Tengku Zaharah Government School di Johor Bharu,kemudiannya ke Johor Bharu Government School kemudiannya menjadi antara ahli sosiologi Malaysia yang tersohor dengan fokus utamanya sentiasa mengkaji tentang sikap dan perkembangan kaum Melayu(Noor Aziera,Ermy Azziati,Aiza Maslan,2011). Menerusi tulisan-tulisannya,beliau selalu memikirkan bagaimana mengangkat kaum Melayu dari kemiskinan. Hal ini membuktikan,pengalaman beliau sebagai seorang guru yang lebih dekat dengan masyarakat berbanding mana-mana kelompok profesion membantu dalam proses pembinaan masyarakat yang amat penting di dalam arus politik. Justeru,sekiranya guru menjadi
            Penglibatan guru dalam arena politik juga lebih berkesan kerana guru mempunyai pengaruhnya yang tersendiri dalam kalangan masyarakat,seperti yang diperkatakan dalam artikel “Senario Guru Berpolitik” yang diulas. Kedudukannya yang dipandang mulia dalam kalangan masyarakat menjadikan guru ‘pemimpin semulajadi’ yang mampu memimpin masyarakat sekitarnya dengan baik. Sebagai bukti terhadap hebatnya pengaruh guru ini dalam menyebarkan mesej dan pemikiran,penulis-penulis yang bangkit di era pra-merdeka ,saat gerakan kemerdekaan berpindah ke wacana penulisan adalah dari kalangan guru-guru. Penulis-penulis seperti Harun Aminurrasyid,Abdullah Sidek,Ahmad Bakhtiar,Embung Yahya dan ramai lagi adalah antara penulis yang membawa mesej kemerdekaan dan mampu membangkitkan semangat nasionalisme dalam diri bangsa yang sedang ‘tidur’ ketika itu. (Adi Daniel,2010). Malah,antara wadah yang menjadi salur penyampai pemikiran nasionalisme ketika itu adalah ‘Majalah Guru’ yang memaparkan karya guru-guru seperti yusof Arsyad,Embung Yahya dan ramai lagi.
            Menyentuh kebimbangan awam mengenai manipulasi tugas guru dan guru menyalahgunakan peranannya sebagai guru sebagai medium menyampaikan dakyah politiknya,saya ingin memetik pandangan Manja Ismail yang menyatakan bahawa guru di Malaysia,samada dilarang atau tidak sudah lama berpolitik,sebahagian mereka terbabit dalam parti politik masing-masing samada terbuka atau secara rahsia. Justeru,jika isu kegiatan politik di dalam bilik darjah atau di sekolah yang menjadi kebimbangan,isu ini sudah lama didengar. Seorang guru yang bertanggungjawab,samada menyertai politik secara sah atau tidak, sepatutnya tidak akan mengabaikan tanggungjawabnya di dalam bilik darjah hanya kerana aktiviti politik. Sebagaimana yang disebutkan oleh Max J Rubin, objektiviti seorang guru tidak akan dipengaruhi oleh kegiatan politiknya di luar bilik darjah. Seorang guru yang baik samada aktif di dalam politik atau tidak akan mengajar tanpa bias dan prejudis,manakala guru yang tidak bertanggungjawab,samada aktif berpolitik atau tidak,akan membawa prejudis peribadi(personal prejudice) ke dalam bilik darjah.(Max J. Rubin,1952)
            Namun begitu,meskipun saya menyokong keputusan ini,saya tetap merasakan kebenaran ini wajib diiringi dengan beberapa syarat yang ketat serta disertai dengan kefahaman yang jelas dari pihak guru. Demi kemaslahatan generasi anak bangsa yang masa depannya tergenggam di tangan para guru,kerajaan perlu mengenakan syarat tambahan berkenaan tindakan membawa unsur politik ke dalam bilik darjah mahupun sekolah. Peraturan tatertib tertentu mestilah dikemaskini dan digazetkan melalui pekeliling contohnya berkenaan tindakan guru membawa masuk atau emakai sebarang lambing parti politik ke dalam sekolah,memasukkan elemen politik dan berbaur propaganda politik di dalam ucapan-ucapan rasmi di sekolah dan sebagainya. Hal ini adalah bagi menyekat guru dari mengambil kesempatan akan kedudukannya sebagai guru untuk menyampaikan propaganda politik.
Di pihak guru juga,terkedepan dari misi politiknya,etika keguruan mestilah sentiasa diutamakan. Sebagai penjawat sebuah profesion yang mulia,guru sepatutnya bertindak dengan lebih professional. Guru tidak boleh terlalu ghairah berpolitik sehingga melupakan tugasannya sebagai guru di luar bilik darjah seperti menanda buku murid,mengikuti latihan rumah sukan bagi murid,mengendali aktiviti ko-kurikulum dan sebagainya., Lok Yim Pheng dalam mewakili Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan turut berkata bahawa mereka bersetuju dengan keputusan itu dengan menegaskan bahawa syarat-syarat tertentu mesti dipatuhi dan menambah guru perlu mengutamakan pendidikan kanak-kanak,dan politik diletakkan sebagai nombor dua dalam keutamaan.
Di pihak pentadbir sekolah,merka juga perlu memantau pergerakan guru mereka di dalam sekolah. Guru perlu dipastikan untuk tidak terganggu tumpuannya terhadap pengajaran dan mana-mana guru yang dilihat tidak mampu menjalankan ‘multitasking’ atau mengimbangi kedua-dua tugas(politik dan perguruan) ini perlu dihadapi dengan baik untuk diperbetulkan.
 Antara isu lain yang mungkin timbul juga ialah diskriminasi dari segi layanan di sekolah berdasarkan kepartian yang dipilih selain pengaruh penglibatan di dalam politik kepada hubungan antara rakan sejawat di sekolah. Boleh terjadi guru yang memilih parti pembangkang didiskriminasi dan diberi layanan buruk berbanding guru yang terlibat aktif mendokong parti pemerintah. Dalam konteks ini,semua guru dan warga sekolah perlu mengamalkan sikap professional dan lebih terbuka dalam menghadapi senario ini dengan menanggapnya tidak lebih dari sekadar kepelbagaian fikrah dan pandangan semesta(worldview) yang positif. Malah jika guru tidak menzahirkan pergerakan dan dakyah politiknya di dalam sekolah,adalah diyakini situasi begini akan dapat dielakkan.
Ultimatumnya,dalam mendepani isu guru berpolitik ini, ianya sebenarnya terletak kepada integriti guru itu sendiri dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang guru tanpa mencampur adukkan urusan politik di dalamnya. Keputusan membenarkan guru berpolitik ini tidak sepatutnya bererti institusi dan sistem pendidikan dipolitikkan atau diheret ke dalam kancah politik,sebaliknya,ianya perlu dilihat tidak lebih dari sekadar mengembalikan hak berpolitik kepada guru sebagai seorang rakyat dan bukan atas kapasitinya sebagai seorang guru sekolah. Hakikatnya ,samada dibenarkan berpolitik atau tidak,guru tetap perlu menjaga integriti dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pendidik anak bangsa.